Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Syukur ke hadrat illahi dengan limpah kurniaNya, saya berpeluang menerajui sebuah kolej. Kolej Komuniti Bandar Tenggara (KKBT) merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang menyediakan laluan alternatif melalui penawaran Sijil Kulinari kepada pelajar lepasan menengah. Kursus-kursus pendek juga terbuka kepada semua tanpa mengira batasan umur sebagai hab Pengajian Sepanjang Hayat dalam memberi latihan kemahiran berdasarkan permintaan industri dan keperluan semasa. Kursus yang ditawarkan direkabentuk untuk mengemaskini pengetahuan dan membina kemahiran dalam penggunaan teknologi media baru dan kekal relevan seiring dengan industri yang bergerak ke hadapan.

Kami mengambil pendekatan memanfaatkan sepenuhnya perkongsian pintar dengan pihak berkepentingan dan membawa semua pengalaman ini kepada pelajar kami untuk memastikan pendidikan yang benar-benar global. Para pelajar akan di dedahkan kepada trend dan amalan terkini syarikat-syarikat bagi menghasilkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang. Mereka juga dapat mempelajari pendekatan praktikal untuk menangani masalah dan situasi yang berlainan melalui penyelidikan berasaskan projek.

Selaras dengan Visi dan Misi Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kolej Komuniti Bandar Tenggara merangka proses kerja pengajaran dan pembelajaran ke-21 bagi memastikan penghasilan Graduan TVET yang berkualiti.